Friday 26 July 2013

Makanan tradisional

1. Umai
 
Antara makanan tradisi kaum Melanau yang berasaskan ikan mentah yang segar seperti ikan pirang, ikan bawal hitam, ikan yu atau ikan terubuk. Namun lebih nikmat dan sedap sekiranya menyediakan umai dengan ikan pirang. Huh! Kecur liur den mengenangkan kenikmatan umai.
Umai bukanlah dimakan secara mentah, ikan yang telah disiang dan dibersihkan digaul bersama ramuan-ramuan seperti bawang merah, bawang besar, cili, limau, halia dan bahan-bahan sampingan yang lain. Campuran ramuan-ramuan inilah terutamanya limau dan halia yang ‘memasakkan’ umai.
Jangan gentar untuk merasa. Silap-silap haribulan sekali rasa mesti nak lagi. Cubalah, rugi hangpa tak merasa noooo… Umai, satu hidangan yang ringkas dan mudah disediakan. Sedap dimakan dengan sagu atau nasi, tapi sedap lagi dengan sagu.
2. Pais Ikan
Biasanya ikan yang paling popular digunakan untuk memais ialah ikan buris (hanya boleh didapati di Sungai Rejang). Selalunya ikan yang kurang segar sedap dibuat pais lebih-lebih lagi kalau jenis ikan kecil. Ikan kecil-kecil sedap dibuat pais seperti ikan jamah, ikan kembung kecil atau ikan bulu. Ada yang membakar dengan balutan daun kunyit, daun pisang atau daun nipah.
3. Lumek
Ikan lumek adalah sejenis ikan yang isinya lembut dan mempunyai tulang yang sedikit.  Rupanya licin seperti belut, tapi isinya tak kental seperti belut, isinya lembut seperti jeli. Kalau masuk dalam mulut terus hilang. Ianya sedap dimasak sup, pais atau salai.
4. Manok Pansuh
Ayam (paling sedap ayam kampung) yang dimasak di dalam buluh ini amat popular di kalangan kaum Iban dan Bidayuh. Buluh yang digunakan untuk memasak ayam tersebut memberikan satu rasa yang tersendiri kepada makanan tersebut. Selain ramuan-ramuan seperti bawang putih, bawang merah, cili, daun ubi dan bahan sampingan lain menambahkan lagi keenakan manok pansuh.
Manok Pansoh sangat sesuai dimakan ketika sarapan pagi, tengahari, makan malam mahupun pada bila-bila masa. Ia akan lebih sedap jika dimakan bersama nasi pulut atau lemang. Ia merupakan makanan yang perlu dirasa sekiranya berkunjung ke Sarawak.
5. Linut
Sejenis makanan asli bagi kaum Melanau. Ianya diperbuat daripada sagu mentah yang berasal dari pohon sagu. Cara pembuatan linut mudah namun memerlukan teknik yang betul agar adunan linut tidak keras.
Bahan-bahan untuk membuat linut ialah sagu mentah dan air panas. Cara-cara membuatnya adalah dengan menjiruskan air panas secara perlahan-lahan ke dalam besen yang diisi sagu mentah. Jirusan air dan gaulan yang pantas perlu dilakukan dengan serentak agar adunan tersebut labih sempurna.
Linut biasanya dimakan bersama sambal yang diperbuat daripada belacan. Sayur-sayuran seperti terung iban, midin (daun pakis) dan sayur labu adalah makanan sampingan yang biasanya dihidang bagi melengkapi hidangan linut.
6. Tumpik Lemantak
Juga merupakan makanan tradisional kaum Melanau yang diperbuat daripada sagu (lemantak) yang dicampur dengan kelapa parut dan dicicah dengan gula apong. Makan panas-panas tengah hujan sedap ni.
7. Obor-Obor
Obor-Obor yang sering dijadikan pembuka selera turut merupakan makanan tradisi kaum Melanau. Obor-obor di perairan Sarawak tidak berbisa seperti obor-obor jenis putih, itu yang dijadikan sebagai makanan.
Ramuannya lebih kurang sama dengan umai cuma ditambah dengan kacang tanah yang ditumbuk kasar. Kalau nak pedas tambahkan cili api. Tak perlu tambah garam kerana Obor-Obor sudah masin. Kalau tak nak terlalu masam, kurangkan limau. Cubalah obor-obor ni, sedap tak terkata nikmat bagi yang pernah merasa.
8. Midin
Salah satu makanan begitu popular di Sarawak. Pucuk paku yang lembut, berdaun atau tanpa daun terbuka digunakan sebagai sayur atau ulam. Midin sedap dimasak dengan belacan. Perghh… Sedap tak terkata. Betul, tak percaya cubalah rasa. Kalau bertandang ke Sarawak, jangan lupa merasa makanan ni. Sedap tau, rugi tak rasa.
9. Empasak (Pucuk Ubi Tumbuk)
Sayuran yang turut menjadi kegemaran rakyat Sarawak terutamanya kaum Iban. Pucuk ubi ditumbuk sampai lumat dan digoreng dengan ikan bilis dan belacan beserta lain-lain bahan sampingan. Berselera dimakan panas-panas bersama nasi dan lauk pauk lain.
10. Celorot
Sejenis kuih tradisi Sarawak yang diperbuat daripada tepung beras dan gula merah, adunan kuih dengan teksturnya sedikit kenyal dan manis kemudian dibalut dengan pucuk daun nipah sebelum dikukus sehingga masak. Ianya manis, lembut dan sedap! Kuih kegemaran masa kecil, semasa Ramadhan memang selalu minta ayah belikan untuk juadah berbuka.

No comments:

Post a Comment