Friday 26 July 2013

Regata Sarawak

Regata Sarawak merupakan sukan air yang popular yang diadakan setiap tahun.
Kemunculannya pada setiap Ogos sememangnya sentiasa dinanti-nantikan oleh orang ramai khususnya mereka yang meminati perlumbaan kayak dan perahu panjang.
Mengimbau sejarah, regata yang popular di Sarawak dikenali sebagai regata Baram yang telah diadakan buat pertama kali di Marudi pada 1899.
Namun begitu, sejarah sukan air itu bermula di Kuching pada 1871 dan ia dikenali sebagai Regata Sarawak. Bermula dari saat itu, semua bandar utama di negeri ini menganjurkan regata Sarawak setiap tahun dan dijadikan acara tahunan.
Antara nama-nama gelaran popular yang diberikan kepada perahu panjang pada masa dahulu ialah seperti 'Burung Raja Wali Senang Hati', 'Seri Bulan Pelandok Dara', 'Bendera Baru Note Sarawak', 'Singa Terbang Kendawang Gronggong', 'Tidak Disangka', 'Usaha Berjaya', 'Muhibbah' dan 'Merdeka'.
Cabaran Regata Sarawak diperkenalkan sebagai sebahagian daripada atur cara dalam Pesta Kuching bagi meraikan sambutan hari ulang tahun bandar raya Kuching dan Hari Kebangsaan. Regata Sarawak mula diperkenalkan sejak 128 tahun lampau dan kini merupakan di antara produk pelancongan yang utama di Sarawak.
Ia telah dimasukkan dalam kelompok acara tradisi lain dalam kalendar pelancongan negeri oleh Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dalam usaha 'menjual' negeri ini di mata dunia.
Produk pelancongan lain yang turut diberi perhatian serius ialah Cabaran Safari Rakit Baleh-Kapit, Pesta Kaul, Gawai Sawa, Gawai Dayak, Pesta Lun Bawang, Pesta Kuching, Pesta Muzik Hutan Hujan Dunia, Perlumbaan Rakit Antarabangsa Bau, Inner Sarawak Safari dan Ekspedisi Trans-Borneo.
Berbanding dengan acara lain, Regata Sarawak mempunyai keistimewaan tersendiri dalam menarik kedatangan pelancong baik dari Semenanjung atau negara-negara luar.
Selain dapat menghayati keindahan dan keaslian Sungai Sarawak, pelancong akan dapat menyaksikan kehangatan dan kemeriahan sukan air tradisi itu dipertandingkan.
Mereka boleh melihat bagaimana para peserta yang terdiri daripada pelbagai suku kaum dalam satu kumpulan bekerjasama dan berpadu tenaga dalam mengendali perahu panjang masing-masing untuk memburu kejayaan.
Pelancong juga berpeluang menyaksikan bagaimana semangat muhibah, toleransi dan perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai etnik menjadi kunci kepada sebuah kemenangan. Bagi individu yang menggemari aksi hebat pula, kehadiran Regata Sarawak pasti tidak akan dilepaskan dan akan turut serta menyertai cabaran yang menyeronokkan itu.
Walaupun Regata Sarawak diadakan di seluruh pelosok Bumi Kenyalang tetapi cabaran yang diadakan di Tebingan Kuching adalah yang paling meriah sekali.
Kira-kira 10,000 penduduk warga kota, pelancong tempatan dan asing pasti akan berhimpun di Tebingan Kuching untuk menyaksikan kehebatan para peserta beraksi.
Baru-baru ini, cabaran Regata Sarawak '99 telah diadakan di Tebingan Kuching dari 20 hingga 22 Ogos yang dirasmikan dalam suasana yang gilang-gemilang oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
Sebanyak 220 pasukan termasuk dari Brunei Darussalam telah mengambil bahagian dalam 45 acara yang dipertandingkan dalam Regata Sarawak '99.
Antara acara yang dipertandingkan ialah seperti kayak, perahu kenyalang, perahu 'balok' dan perahu panjang tradisional.
Pelbagai kategori pasukan telah menyertai saingan Regata Sarawak '99 antaranya ialah acara terbuka, institusi kewangan, belia, pelancongan, antara bahagian dan institusi pendidikan. Dua buah piala iaitu Piala Yang Dipertua Negeri Sarawak dan trofi Ketua Menteri dipertaruhkan untuk menjadi rebutan di kalangan peserta yang mengambil bahagian.
Sementara itu, kerajaan negeri akan mengambil langkah pembaharuan apabila menganjurkan Regata Sarawak pada setiap cuti umum minggu pertama pada September mulai tahun depan. Langkah itu bertujuan bagi membolehkan lebih ramai penduduk berpeluang menyaksikan sukan air tersebut sejajar dengan cuti umum yang ditetapkan oleh kerajaan pada setiap Sabtu minggu pertama setiap bulan.
Ia juga dapat menarik pelancong tempatan dan asing menyaksikan cabaran Regata Sarawak yang merupakan sukan air tradisi yang popular di kalangan masyarakat di negeri ini sejak 1871.
Menurut Ketua Menteri, Regata Sarawak yang merupakan acara tradisi dalam kalendar pelancongan negeri telah berjaya menarik ramai pelancong asing datang ke Sarawak.
Justeru katanya, sukan air itu perlu ditingkatkan agar ia menjadi daya tarikan utama kepada pelancong luar negara untuk datang ke negeri ini.
Selain itu, Taib menyifatkan Regata Sarawak telah dapat mewujudkan jalinan dan semangat kerjasama yang jitu di antara masyarakat pelbagai suku kaum yang terdapat di negeri ini.
"Mereka telah dapat bercampur gaul dalam suasana yang mesra, bersatu padu dan mengenali di antara satu sama lain sehingga mewujudkan kehidupan yang aman dan harmoni,'' katanya.
Dalam pada itu, Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Negeri, Datuk Amar James Wong Kim Min berkata, sejak Regata Sarawak diadakan, bilangan pelancong asing yang melawat ke negeri ini semakin meningkat dari setahun ke setahun.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Regata Sarawak berkata, acara itu menjadi saluran terbaik bagi menonjolkan kepada pelancong luar mengenai warisan sukan tradisi yang dipelopori oleh suku-suku kaum yang terdapat di negeri ini. Tidak dinafikan, Regata Sarawak merupakan aset yang amat bernilai kepada Bumi Kenyalang dalam menggemilang dan melonjakkan sektor pelancongan serta pertumbuhan ekonomi negeri ini pada masa depan.

 


No comments:

Post a Comment