Friday, 26 July 2013

Makanan tradisional

1. Umai
 
Antara makanan tradisi kaum Melanau yang berasaskan ikan mentah yang segar seperti ikan pirang, ikan bawal hitam, ikan yu atau ikan terubuk. Namun lebih nikmat dan sedap sekiranya menyediakan umai dengan ikan pirang. Huh! Kecur liur den mengenangkan kenikmatan umai.
Umai bukanlah dimakan secara mentah, ikan yang telah disiang dan dibersihkan digaul bersama ramuan-ramuan seperti bawang merah, bawang besar, cili, limau, halia dan bahan-bahan sampingan yang lain. Campuran ramuan-ramuan inilah terutamanya limau dan halia yang ‘memasakkan’ umai.
Jangan gentar untuk merasa. Silap-silap haribulan sekali rasa mesti nak lagi. Cubalah, rugi hangpa tak merasa noooo… Umai, satu hidangan yang ringkas dan mudah disediakan. Sedap dimakan dengan sagu atau nasi, tapi sedap lagi dengan sagu.
2. Pais Ikan
Biasanya ikan yang paling popular digunakan untuk memais ialah ikan buris (hanya boleh didapati di Sungai Rejang). Selalunya ikan yang kurang segar sedap dibuat pais lebih-lebih lagi kalau jenis ikan kecil. Ikan kecil-kecil sedap dibuat pais seperti ikan jamah, ikan kembung kecil atau ikan bulu. Ada yang membakar dengan balutan daun kunyit, daun pisang atau daun nipah.
3. Lumek
Ikan lumek adalah sejenis ikan yang isinya lembut dan mempunyai tulang yang sedikit.  Rupanya licin seperti belut, tapi isinya tak kental seperti belut, isinya lembut seperti jeli. Kalau masuk dalam mulut terus hilang. Ianya sedap dimasak sup, pais atau salai.
4. Manok Pansuh
Ayam (paling sedap ayam kampung) yang dimasak di dalam buluh ini amat popular di kalangan kaum Iban dan Bidayuh. Buluh yang digunakan untuk memasak ayam tersebut memberikan satu rasa yang tersendiri kepada makanan tersebut. Selain ramuan-ramuan seperti bawang putih, bawang merah, cili, daun ubi dan bahan sampingan lain menambahkan lagi keenakan manok pansuh.
Manok Pansoh sangat sesuai dimakan ketika sarapan pagi, tengahari, makan malam mahupun pada bila-bila masa. Ia akan lebih sedap jika dimakan bersama nasi pulut atau lemang. Ia merupakan makanan yang perlu dirasa sekiranya berkunjung ke Sarawak.
5. Linut
Sejenis makanan asli bagi kaum Melanau. Ianya diperbuat daripada sagu mentah yang berasal dari pohon sagu. Cara pembuatan linut mudah namun memerlukan teknik yang betul agar adunan linut tidak keras.
Bahan-bahan untuk membuat linut ialah sagu mentah dan air panas. Cara-cara membuatnya adalah dengan menjiruskan air panas secara perlahan-lahan ke dalam besen yang diisi sagu mentah. Jirusan air dan gaulan yang pantas perlu dilakukan dengan serentak agar adunan tersebut labih sempurna.
Linut biasanya dimakan bersama sambal yang diperbuat daripada belacan. Sayur-sayuran seperti terung iban, midin (daun pakis) dan sayur labu adalah makanan sampingan yang biasanya dihidang bagi melengkapi hidangan linut.
6. Tumpik Lemantak
Juga merupakan makanan tradisional kaum Melanau yang diperbuat daripada sagu (lemantak) yang dicampur dengan kelapa parut dan dicicah dengan gula apong. Makan panas-panas tengah hujan sedap ni.
7. Obor-Obor
Obor-Obor yang sering dijadikan pembuka selera turut merupakan makanan tradisi kaum Melanau. Obor-obor di perairan Sarawak tidak berbisa seperti obor-obor jenis putih, itu yang dijadikan sebagai makanan.
Ramuannya lebih kurang sama dengan umai cuma ditambah dengan kacang tanah yang ditumbuk kasar. Kalau nak pedas tambahkan cili api. Tak perlu tambah garam kerana Obor-Obor sudah masin. Kalau tak nak terlalu masam, kurangkan limau. Cubalah obor-obor ni, sedap tak terkata nikmat bagi yang pernah merasa.
8. Midin
Salah satu makanan begitu popular di Sarawak. Pucuk paku yang lembut, berdaun atau tanpa daun terbuka digunakan sebagai sayur atau ulam. Midin sedap dimasak dengan belacan. Perghh… Sedap tak terkata. Betul, tak percaya cubalah rasa. Kalau bertandang ke Sarawak, jangan lupa merasa makanan ni. Sedap tau, rugi tak rasa.
9. Empasak (Pucuk Ubi Tumbuk)
Sayuran yang turut menjadi kegemaran rakyat Sarawak terutamanya kaum Iban. Pucuk ubi ditumbuk sampai lumat dan digoreng dengan ikan bilis dan belacan beserta lain-lain bahan sampingan. Berselera dimakan panas-panas bersama nasi dan lauk pauk lain.
10. Celorot
Sejenis kuih tradisi Sarawak yang diperbuat daripada tepung beras dan gula merah, adunan kuih dengan teksturnya sedikit kenyal dan manis kemudian dibalut dengan pucuk daun nipah sebelum dikukus sehingga masak. Ianya manis, lembut dan sedap! Kuih kegemaran masa kecil, semasa Ramadhan memang selalu minta ayah belikan untuk juadah berbuka.

Keunikan etnik di Sarawak

Sarawak mempunyai bilangan penduduk yang banyak sekali antara negeri-negeri di Malaysia, iaitu seramai [1]Sebagai ibu negeri, Kuching merupakan rumah kepada 458,300 orang. Ini menyebabkan ia menjadi bandar yang mempunyai penduduk yang terbanyak di Sarawak dan mendapat kedudukan yang ketujuh di Malaysia.
2.07 juta orang.
Sarawak mempunyai 27 etnik besar, setakat ini yang dikemukakan.[1] Kesemua kumpulan etnik ini mempunyai bahasa, kebudayaan, dan cara kehidupan yang tersendiri. Etnik di Sarawak terbahagi mengikut kawasan penempatan seperti persisiran pantai, lembah sungai, daerah pendalaman, dan kawasan tanah tinggi. Kawasan yang paling padat dengan penduduk ialah di dataran pantai, lembah sungai di bahagian barat Kuching, dan kawasan antara Sungai Kayan dengan Sungai Mukah.
Corak penempatan dan taburan penduduk yang berselerak di Sarawak menyebabkan mereka tidak banyak berhubung dengan orang luar. Keadaan ini mendorong setiap kelompok etnik membentuk identiti kebudayaan masing-masing mengikut persekitarannya.

ETNIK-ETNIK DI SARAWAK
  • Iban
  • Cina
  • Melayu
  • Bidayuh
  • Melanau
  • Kayan
  • Kenyah
  • Lun Bawang
  • Penan
  • Kelabit
  • Kedayan
  • Bisaya
  • Berawan
  • Lahanan
  • Sekapan
  • Kejaman
  • Punan
  • Baketan
  • Ukit
  • Sihan
  • Tagal
  • Tabun
  • Saban
  • Lisum
  • Longkiput
  • Kadazandusun
  • Murut

Kampung Budaya


“Terokai Sarawak dalam masa setengah hari” itulah yang dijanjikan oleh Kampung Budaya Sarawak, sebuah muzium ‘award winning’ yang menawarkan pengenalan terbaik bagi cara hidup dan budaya tempatan. Terletak di atas sebidang tanah seluas 17-ekar dan hanya terletak berdekatan dengan kawasan hotel-hotel resort, di sini terdapat bangunan replika yang mewakili kumpulan-kumpulan etnik di Sarawak; Rumah panjang Bidayuh, Iban,dan Orang Ulu, perkampungan hutan Penan, Rumah Tinggi Melanau, sebuah rumah tradisional Melayu dengan gelanggang gasing terletak bersebelahannya, Rumah Ladang Cina serta sebuah Pagoda Cina. Wakil dari setiap suku kaum ditempatkan di setiap bangunan ini dengan memakai pakaian tradisional dan melakukan aktiviti-aktiviti yang melambangkan gaya hidup tradisional mereka. Setiap bangunan juga diwakili oleh seorang ‘Tukang Cerita’ yang berpengetahuan luas tentang cara hidup dan budaya-budaya ini. Mereka juga sangat mesra dan amat berbesar hati untuk mengambil gambar bersama anda.
Setelah selesai melawat perkampungan budaya ini, anda boleh menyaksikan persembahan tarian tradisional dari pelbagai suku kaum di teater yang disediakan. Terdapat juga restoran serta kedai-kedai kraftangan di sini. Kampung Budaya Sarawak juga boleh ditempah dan menjadi hos kepada majlis makan malam bertema, atau keraian (sila dapatkan informasi dari hotel penginapan anda) dan yang menariknya adalah majlis perkahwinan juga boleh diadakan di sini, dengan tema tradisional seperti Iban, Bidayuh, Melayu ataupun Orang Ulu!

Taman Buaya Jong

Antartempat menarik lain di Bandaraya Kuching yang wajib dilawati adalah Jong’s Crocodile Farm, atau Taman Buaya Jong di Sarawak adalah adalah sebuah kawasan persendirian yang menempatkan lebih 1000 ekor buaya dari pelbagai jenis dan saiz.
Ia terletak di sekitar daerah Padawan (sepanjang jalan Kuching-Serian) dan boleh dilawati dengan perjalanan kira kira 45 minit dari bandar Kuching. Memandangkan Sarawak memang begitu sinonim buaya maka lawatan ke Jong’ Crocodile Farm ini seolah olah menjadi kemestian kepada pelancong dari luar Sarawak.
Jong’s Crocodile Farm juga adalah kawasan penternakan, pembiakan dan pemuliharaan buaya yang terbesar di Malaysia. Pada awal penubuhan taman buaya Jong ini pada tahun 1963, pembukaannya adalah untuk tujuan komersial iaitu untuk memperdagangkan kulit buaya, tetapi kemudiannya ditukar kepada mini zoo yang ada hingga sekarang. Ia diberi nama sempena pemilik dan pembuka taman ini sendiri iaitu Johnson John. Johnson John juga adalah penulis bersama buku ‘Man-eating Crocodiles of Borneo’ bersama James Ricthie. Harga masuk ialah RM8 untuk dewasa dan RM4 untuk kanak kanak di bawah 12 tahun.
Buaya-buaya di sini ditempatkan mengikut saiz, spesies/jenis dan umur.  Buaya yang masih kecil ditempatkan bersama di dalam sangkar yang lebih kecil. Begitu juga buaya yang masih diperingkat ‘remaja’. Manakala buaya dewasa dibiarkan hidup berkumpulan dalam kawasan yang lebih besar. 
Walaupun dikenali sebagai taman buaya, Jong’s Crocodile Farm juga menempatkan spesies unggas, burung, beruang dan binatang eksotik yang lain yang hanya boleh didapati di kepulauan Borneo. Waktu yang paling sesuai untuk melawat Jong’s Crocodile Farm ialah pukul 9 pagi dan juga 3 petang kerana waktu ini demonstrasi memberi makan kepada buaya akan diadakan.

Taman Negara Matang (Matang Wildlife)


Matang Wildlife Centre merupakan sebahagian daripada Taman Negara Kubah yang menempatkan pelbagai jenis hidupan liar dalam golongan spesis merbahaya di dalam kawasan tertutup ataupun sangkar yang sangat luas. Tarikan utamanya merupakan program latihan orang utan di mana orang utan yang tidak mempunyai ibu bapa ataupun telah diselamatkan, diajar cara-cara untuk hidup di dalam hutan sebenar. Masa terbaik untuk melihat mereka adalah pada masa memberi makanan (sila rujuk di bawah). Selain orang utan, pusat ini juga menempatkan rusa sambar, buaya, beruang matahari, musang dan benturung, dan tiga aviary besar yang menempatkan burung enggang, helang, burung lelayang, burung botak serta beberapa lagi spesis yang berasal dari Sarawak. 


Terdapat beberapa lokasi sesuai untuk berkelah yang terletak hanya bersebelahan pusat informasi serta empat jejak hutan. Pitcher Trail, yang mengelilingi hutan ini, mengambil masa dua jam untuk dihabiskan dan trekker akan dapat melihat dengan mudah tumbuhan pitcher yang memenuhi lantai trek di kedua-dua belah jalannya. Rayu Trail pula mengambil masa 3-4 jam untuk dihabiskan dan ianya menuju ke Pusat Taman Negara Kubah. Manakala Sungai Buluh Trail pula akan membawa anda ke dua buah lokasi air terjun yang menakjubkan dan mengambil masa 2 jam (untuk pergi sahaja). 

Di sini terdapat sebuah pusat informasi, kemudahan penginapan dan sebuah kantin kecil berdekatan tempat letak kereta.


Monday, 22 July 2013

Taman Negara Bako


 

Sebuah Taman Negara yang beroperasi sejak 1957, Bako menjanjikan pengenalan tepat mengenai hidupan liar dan alam semulajadi yang boleh didapati di Sarawak. Taman ini merangkumi bahagian utara Semenanjung Muara Tebas seluas 27 km persegi. Walaupun agak kecil, Bako menempatkan pelbagai jenis tumbuhan – hutan paya, hutan belukar, hutan bakau,hutan dipterokarpa, tumbuhan cerunam bukit dan banyak lagi. Malah, di Bako anda boleh menjumpai hampir kesemua jenis tumbuhan yang terdapat di Borneo.Bako juga menempatkan pelbagai jenis hidupan liar serta kawasan persisiran pantai yang menarik. Taman Negara ini juga dipenuhi trek jarak dekat dan jauh yang mana ada diantaranya mengambil masa selama sehari untuk dihabiskan. Tidak seperti Taman Negara lain, anda pasti akan dapat melihat hidupan liar di Bako. Monyet-monyet macaque dan monyet daun perak amat mudah dijumpai, babi hutan juga merupakan antara yang mudah untuk dilihat kerana sering berkeliaran di pusat kawalan serta biawak dan tupai juga banyak di sini. Anda juga berpeluang menyaksikan monyet proboscis jika memilih trek seperti Telok Paku atau Telok Delima, lebih-lebih lagi jika anda pergi pada lewat waktu tengah hari. Peluang untuk berjumpa dengan haiwan-haiwan liar ini lebih cerah sekiranya anda peka dan senyap ketika berjalan. Sebagai contoh, anda akan dapat mendengar bunyi buah yang jatuh dari pokok dan di situ kemungkinan terdapat beberapa monyet proboscis. 

Kehidupan tumbuhan di Bako adalah indah dan mudah dilihat. Setiap trek memiliki pelbagai jenis tumbuhan, dari pokok dipterokarpa setinggi 80-meter sehinggalah ke hutan bakau yang tebal. Pokok Pitcher sejenis tumbuhan karnivor juga boleh dilihat di trek Lintang. 

Bako juga memiliki kawasan pantai yang indah sesuai untuk dijadikan tempat istirehat diantara trek. Pantai terbaik di Bako merupakan Telok Pandan Kecil. Selepas kira-kira sejam perjalanan dari trek Teluk Pandan Kecil, anda akan tiba di sebuah kawasan berbatu. Pemandangan indah dari puncak serta keinginan untuk terjun ke dalam air yang jernih cukup untuk merenggangkan otot-otot yang keletihan akibat berjalan jauh. Perjalanan selama 20-minit pun bakal menjadi lebih menarik. Pantai-pantai di sini disempadani oleh batu kapur dan tebing curam batu pasir yang mempunyai formasi menarik hasil pergerakan air laut seperti formasi Sea Stack yang amat terkenal. 

Sekiranya anda berjalan ketika matahari terbenam di pantai Telok Assam berdekatan pusat kawalan utama, anda akan berpeluang melihat burung layang-layang yang hinggap di sarang mereka di atas batu di hujung pantai. Jangan tinggalkan pantai sebaik selepas matahari terbenam di belakang Gunung Santubong. Tunggu kira-kira 20 minit kerana masa itulah warna langitnya akan berubah secara dramatic dengan penuh warna-warni berlatarbelakangkan Gunung Santubong yang tersergam indah. 

NOTA : Ada kalanya trek yang jauh di Bako ditutup sementara. Ini adalah kerana mereka perlu memastikan terdapat kawasan yang tidak diganggu oleh manusia dalam masa tertentu agar dapat memelihara kehidupan semulajadi di sini. Sila dapatkan maklumat dari pejabat tempahan National Parks & Wildlife tentang trek yang ditutup sementara.